Hari ini 23 Mei 2016 bersamaan 16 Syaaban.. Alhamdulillah Allah menemukan kita dengan bulan Syaaban.. Banyak fadhilat yang diceritakan berkenaan bulan Syaaban terutamanya pada malam nisfu Syaaban.
Sabda Nabi s.a.w:
"Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu"
Saidatina Aisyah r.a berkata:
"Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana bulan Syaaban"
MALAM NISFU SYAABAN
Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 Syaaban. Nisfu Syaaban membawa maksud separuh/setengah bulan Syaaban. Pada malam ini amalan kita akan dibawa naik Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu, Catatan pertama bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (15 Syaaban bermula setelah masuk maghrib di mana siangnya ialah 14 Syaaban). Malam nisfu Syaaban ialah malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.
Saidatina Aisyah r.a.meriwayatkan Nabi s.a.w tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
"Rasulullah s.a.w telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki baginda s.a.w dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku mendengar Baginda s.a.w berkata dalam sujudnya, "Ya Allah aku pohonkn kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti Kamu memuji diriMu sendiri."
Setelah Baginda s.a.w selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saidatina Aisyah r.a. "Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang yang dengki."
Amalan Malam Nisfu Syaaban
- Setelah selesai solat Maghrib atau Isyak, bacalah Surah Yasin 3 kali dengan satunya diniatkan memohon dipanjangkan umur dan sihat, kemudian ditetapkan iman dan dijauhkan dari bala bencana, seterusnya diluaskan rezeki yang halal dan diberkati.
- Digalakkan memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat memohon semoga diampunkan Allah segala dosa-dosa kita, ibu bapa serta keluarga
- Solat-solat sunat
- Memberbanyakkan membaca Al-quran dan bersedekah
Sewajarnya kita melakukan amalan-amalan soleh yang disukai oleh Allah pada malam tersebut dan mengelakkan serta meninggalkan perbuatan yang dibenci oleh Allah. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan dan diampunkan dosa-dosa kita yang lepas. In Syaa Allah, semoga catatan amalan kita yang baru ini sentiasa dipenuhi dengan amal kebaikan (amal makruf nahi munkar).
No comments:
Post a Comment