Saturday, 8 February 2014

Penciptaan Adam dan Hawa

Sebelum Allah menciptakan Adam, Allah mengkhabarkan kepada para malaikat bahawa Allah akan menciptakan Adam dan keturunannya sebagai khalifah di bumi. 
Malaikat kemudian berkata, "Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau".
Allah berfirman, " Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".

Setelah menciptakan Adam, Allah mengajarnya nama-nama segala sesuatu dan menunjukkan malaikat bahawa Adam mempunyai lebih banyak ilmu pengetahuan dari mereka.

Kemudian, seluruh malaikat sujud (menghormati/memuliakan) kepada Adam dan mematuhi perintah Allah menjadikan Adam sebagai khalifah di bumi tetapi iblis yang sombong lagi keras kepala tidak mahu sujud terhadap Adam kerana berpendapat mereka lebih baik dari Adam yang diciptakan dari tanah sedangkan mereka dari api. Allah mengusir iblis keluar dari syurga dengan keadaan yang amat terhina. Iblis bersumpah bahawa akan berusaha untuk menyesatkan anak cucu Adam dari jalan yang lurus kecuali yang Allah lindungi. (Semoga kita sentiasa dilindungi Allah dari Iblis yang terkutuk ini).

Tinggallah Adam berseorangan di dalam syurga. justeru iti Allah menciptakan Hawa ketika Adam tidur dari satu tulang rusuk kirinya.Setelah bangun dari tidur Adam mendapati seorang wanita duduk di sebelah kepalanya yang akan menjadi teman buatnya di syurga.

Allah membolehkan mereka bersenang-senang dengan segala yang ada di syurga kecuali satu jenis pohon malah Allah melarang sama sekali mereka mendekatinya. Tipu daya syaitan telah membuatkan Adam dan Hawa mendekati pohon tersebut dan makan buah pohon itu. Ternampkalah aurat masing-masing yang selama ini tertutup. Adam dan Hawa menyesal dengan perbuatan mereka lalu memohon ampun dari Allah. Allah memerintahkan mereka turun ke bumi dan memberitahu mereka bahawa nanti akan ada antara keturunannya akan mengalami permusuhan.

No comments:

Post a Comment